Header Blog & Channel
                                      


                   

MISTERI BINAAN PIRAMID DIJAWAB OLEH AL-QURAN

Sudah sekian lama para saintis kebingungan tentang bagaimana sebuah 
piramid yang merupakan salah satu binaan ajaib di dunia ini dibina. 
Terdapat pelbagai teori yang dikemukakan untuk mengetahui teknologi yang digunakan dalam pembinaan piramid ini kerana teknologi untuk mengangkat batu-batuan besar yang beratnya mencapai ribuan kilogram ke puncak bangunan belum memungkinkan di zamannya. Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid ini?

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan satu berita 
saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk 
membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah dari tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan 
keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya. 

Al-Quran Telahpun Mempunyai Jawapan Jika dikaji lebih mendalam, ternyata Al-Quran telah mendedahkan perkara ini 1400 tahun sebelum kajian saintifik dijalankan. 
Perhatikan sebuah ayat Al Quran yang berikut: 

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَلْ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ 
“Dan berkata Fir’aun: ‘Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah Hai Haman untukku TANAH LIAT kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa Dia dari orang-orang pendusta.” (Al-Qasas: 38)


Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir di dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. 
Teknik yang mereka gunakan adalah sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor 
di batu yang mereka tinggalkan. Profesor Gilles Hug, dan Dr. Michel Barsoum 
menegaskan bahawa Piramid yang paling besar di Giza, dibuat dari dua jenis 
batuan yang terdiri dari batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil dari olahan tanah liat.

Gilles Hug (duduk kiri) dan Dr. Michel Barsoum (berdiri)
Artikel kajian yang diterbitkan oleh majalah 
“Journal of the American Ceramic Society” 
menegaskan bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen 
yang tinggi, termasuk piramid. Kerana tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat 
batu berat ribuan kilogram. Sebaliknya pada dasar piramid, Firaun menggunakan 
batu semula jadi. Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang 
dipanaskan dengan wap air garam dan ini akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Ringkasnya lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki tersebut dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

Profesor Davidovits
Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. 
Hasilnya, Davidovits menegaskan bahawa batu itu diperbuat dari lumpur. 
Selama ini, tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum 
mampu untuk membezakan antara batu alam dengan batu buatan manusia. 
Sebelumnya, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari 
jawapan dari pembuatan batu besar di puncak-puncak piramid. Guy Demortier 
berkata, “Setelah bertahun-tahun melakukan penyelidikan dan kajian, sekarang 
barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan 
menggunakan tanah liat.”

Piramid Bosnia
Penemuan oleh Dr Perancis Joseph Davidovits ini adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira dua puluh tahun. Sebuah kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, “Piramid Matahari” dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat dari tanah liat. Ini memperkuatkan lagi bahawa kaedah ini tersebar luas di masa lalu.
Gambar di atas menunjukkan kaedah tuangan batu berasal dari tanah liat telah dikenali sejak 
ribuan tahun yang lalu dalam tamadun yang berbeza baik Rom ataupun Firaun. 
Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita semua bahawa bangunan bangunan raksasa, 
patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman dahulu, 
juga dibina dari tanah liat. Al-Quran adalah kitab pertama yang mendedahkan rahsia bangunan 
piramid, bukan para Ilmuwan Amerika, mahupun Perancis. Kita tahu bahawa Nabi saw tidak 
pernah pergi ke Mesir dan tidak pernah melihat piramid, bahkan mungkin tidak pernah 
mendengar tentangnya. Kisah Firaun, terjadi sebelum masa hidupnya Nabi saw ribuan tahun 
yang lalu, dan tidak ada satu pun di muka bumi ini pada masa itu yang mengetahui tentang 
rahsia piramid. Sebelum ini, para saintis tidak pasti bahawa Firaun menggunakan tanah liat yang 
dipanaskan untuk membina monumen tinggi kecuali beberapa tahun kebelakangan ini. Ajaib, 
1400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad saw, beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti 
Firaun memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang kini dikenali sebagai Piramid menggunakan
 tanah liat. Kenyataan ini sangat jelas dan kuat untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad saw 
tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan petunjuk dari Allah swt yang menciptakan 
Firaun dan menenggelamkannya, dan Dia pula yang menyelamatkan nabi Musa. Dan Dia 
pula yang memberitahu kepada Nabi terakhir-Nya akan hakikat ilmiah ini, dan ayat ini 
menjadi saksi kebenaran kenabiannya di kemudian hari.

No comments: